POST

Thursday, November 1, 2012

Keindahan DILEMA MEMBUAT PILIHAN


Assalamualaikum

Ketika ini, perasaan aku bercampur baur. Sukar untuk diucapkan. Semalam, cuaca mendung hampir sepanjang hari. Hati juga bergolak mencari kesudahan. Satu dilema yang sepatutnya mudah untuk diselesaikan, menjadi sukar dek tiada ketegasan jiwa.

Ketegasan jiwa adalah kekuatan sebenar manusia. Ketegasan jiwa berteraskan prinsip hidup. Ia berkait rapat dengan kefahaman yang
dibawa dalam kehidupan sehari-hari. Islam telah menggariskan kaedah membuat keputusan berdasarkan situasi dan zaman, bergantung kepada kefahaman si pembuat keputusan. Tanpa kefahaman, si pembuat keputusan akan merasa terpaksa, yang mana di dalam Islam, tiada paksaan dibenarkan.

Kaitan prinsip hidup dan kefahaman. Prinsip adalah teras utama dalam membuat pilihan. Pilihan yang tidak menepati prinsip akan diabai. Kefahaman seseorang itu akan memandu tindakan berasaskan prinsipnya. Jika dia seorang yang taat kepada Allah, prinsipnya adalah jika Allah berkata jangan, maka pilihannya jangan. Jika Allah berkata buat, pilihannya buat. Prinsip ini kuat bila kefahaman kepada Allah itu kuat. Jika prinsipnya kuat, tetapi kefahaman kepada Allah tidak kuat, ia akan berubah menjadi fanatik. Maknanya, prinsip yang dipegang itu jelas, tetapi perlaksanaan haruslah berasaskan kefahaman yang menyeluruh. Dalam kefahaman terdapat banyak pilihan dan akibat kepada pilihan yang telah ditunjukkan baik dalam Al-Quran mahupun dalam Sunnah Rasulullah S.A.W.

Mustahil untuk seseorang itu mendapat kefahaman yang menyeluruh sekaligus kerana fitrahnya bukan begitu.

Pengajaran Allah S.W.T. berlaku kepada seseorang itu bermula dengan bacaan. Konsep dan prinsip diterangkan. Seterusnya perlaksanaan, melibatkan sebab-akibat. Setiap tindakan menghasilkan akibat, setiap akibat itu adalah sebagai renungan untuk kita bertindak lagi. Tidak semestinya perkara yang sama berakhir dengan akibat yang sama. Faktor masa dan keadaan harus diambil kira. Renungan kita terhadap sebab-akibat ini menjadi satu saluran untuk kita mendapat pengajaran daripada Allah.

Rangka asas pengajaran daripada Allah ini mesti berlandaskan bacaan yang menerangkan tentang konsep dan prinsipnya. Jika lari dari rangka asas ini, pilihan yang kita buat kebanyakannya berasaskan prinsip yang membuta tuli berteraskan kemahuan diri kita semata-mata.

Faktor masa dan keadaan. Bercakap tentang faktor, kita kena tengok had atau batasnya. Setiap faktor mesti ada titik mula, titik menaik, titik maksimum, titik menurun dan titik akhir. Keadaan yang mendesak hanya boleh ditakrifkan mendesak apabila berada pada titik maksimum. Titik maksimum ini berasaskan kefahaman seseorang, lagi tinggi kefahaman seseorang, lagi tinggi titik maksimumnya, lagi tegas prinsipnya, lagi kuat ketegasan jiwanya. Kefahaman seseorang sangat dipengaruhi oleh ruang hidupnya atau kita panggil persekitaran. Ruang hidup ini adalah sesuatu yang boleh kita kawal, juga berasaskan kefahaman.

Bacaan. Bacaan bermula dengan mendengar, kemudian melihat, seterusnya meletakkan hati sebagai penentu tapak berfikir. Kita tidak seharusnya menggunakan hati sebagai penentu tapak tindakan, kerana ia tidak pernah menguntungkan. Bacaan yang meresap ke dalam hati akan mewujudkan kekuatan, maka pemikiran kita akan menjuruskan ke arah merealisasikannya. Bacaan yang paling utama dalah Al-Quran. Bacaan yang seterusnya utama adalah kaedah perlaksanaan Rasulullah dalam Sunnah baginda.

Hati, tapak sebenar kekuatan manusia, baik dalam berfikir mahupun dalam mengambil tindakan. Kita harus menempatkan hati pada tempat yang betul. Jika kita ingin menegakkan keadilan dengan hati yang dengki, akibat pasti buruk kerana kita meletakkan hati kita pada tempat yang buruk. Kefahaman yang melekat dalam hati akan memandu akal ke arah kefahaman itu. Jika kefahaman buruk, akal pun ke arah buruk, tindakan pun ke arah buruk.

Nafsu atau kemahuan akan cuba merasionalkan keburukan kepada kebaikan jika tidak dipandu oleh hati. Kepentingan HATI ini sangat dalam. Aku akan cuba mengumpul maklumat tentang HATI ini dalam entry lain.

Apa yang aku tulis ini berasaskan pengalaman aku yang cetek. Umur baru setahun jagung. Bila rasa terdesak, seolah-olahnya dunia dah nak kiamat, padahal bila difikirkan balik, tak terdesak sangat pun. Definisi terdesak sebegini disebabkan titik maksimum masih pada tempat yang rendah.

Dalam keadaan sekarang, aku agak bingung untuk membuat penegasan tentang pilihan yang telah dibuat. Aku memilih untuk berkata tidak, pilihan yang terus dari hati, akal bersetuju. Tetapi yang membuatkan aku goyang bila persekitaran mendesak untuk membuat pilihan sebaliknya. Aku dapat rasa yang susah untuk aku mengikut persekitaran aku, mereka mungkin kecewa.

Aku juga telah mendapatkan input/maklumat melalui pembacaan dan perbincangan. Penelitian aku bukan untuk mengiyakan atau menidakkan apa yang telah aku putuskan, sekadar untuk melihat adakah keputusan aku itu selari dengan kehendak prinsip/konsep yang Allah telah gariskan. Sehingga ke hari ini, ia masih selari, jadi keputusan aku masih dalam rangka tepat.

Sekarang, macam mana aku nak mendapatkan penegasan dengan pilihan aku ini? Cara yang paling mudah, biarlah apa orang nak kata, betul? Aku tetap kena meneliti kaedah yang paling bijaksana. Kusut juga aku nak berkata-kata.

Inilah keindahan kehidupan bila kita bertekad untuk berpegang kepada apa yang sepatutnya kita pegang. Walau kusut, hatiku ada sedikit rasa gembira kerana aku masih yakin dengan prinsip yang berdiri pada tapak yang jelas. Tapak AQ. Aku berdoa kepada Allah supaya perkuatkan ketegasan diri aku, permudahkan jalan aku dalam berpegang kepadanya. Janji Allah sentiasa benar. Aku berdoa agar kemahuan Dia adalah kemahuan aku. Aku tak mampu dan tak mahu nak membina kemahuan sendiri dah, sedangkan Dia yang menentukan segala-galanya.

Semoga Allah memandaikan kita dalam membuat pilihan. Keputusan adalah perkara paling hujung dalam setiap perkara, ke syurga atau neraka. Pilihan tetap di tangan kita. Ia akan menentukan tindakan kita, ia juga akan membawa kita kepada akibatnya.

Memperingati ingatan Rasulullah S.A.W. kepada kita melalui Saidina Umar R.A., “..setiap amal bermula dengan niat..”.

Alhamdulillah.

p/s: luahan hati semata-mata.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...