Assalamualaikum..
Di sebalik hati mereka,
Nun jauh di dasarnya,
Tersimpan kenangan mesra,
Tersemat siapa kita.
Nun jauh di dasarnya,
Sekelumit doa sentiasa mengiring,
Merintih,
Merayu,
Agar kita seperti yang didambanya,
Agar kita senantisa di sana.
Rakan-rakan sekalian,
Dalam entry kali ini, aku menulis satu sajak yang ringkas bertajuk "Di Sebalik Hati Mereka". Niat aku, ingin tujukan sajak ini kepada kita semua walau siapa pun kita; suami, isteri, anak, ibu, bapa, sahabat, taulan, pemimpin, pengikut, guru, murid dan sebagainya.
Bayangkan rakan-rakan sekalian, harapan dan doa orang lain kepada kita. Walau di mulut kelihatan kasar, kita tetap bersama mereka. Walau di mata kelihatan sangsi, kita tetap bersama mereka. Walau tingkah dan laku mendidihkan dada, kita tetap bersama mereka. Begitu juga mereka, walau apa pun laku kita, mereka tetap bersama kita. Mengapa?
Kerana di sebalik hati mereka, telah ada siapa kita.
Ibu yang bergenang air mata dek anaknya, baik gembira mahupun duka, tidak lekang di hatinya kebahagiaan si anak. Jelas di matanya, "siapa anakku". Walau dia isteri, walau dia suami, "anakku adalah anakku". Bapa lebih tabah, keras hatinya, tinggi suaranya, garang lagaknya, tapi disebalik hati bapa, "anakku masih si kecil itu". Bagi seorang bapa, "biar air mataku ini mengalir, untuk diriku sendiri".
Isteri, memendam rasa dengan lagak suami, "keras betul hati suamiku, akukah yang bersalah?", namun tetap gembira di sisi. Selagi hayat dikandung badan, aku isterimu. Garangnya suami, perilaku mencabar jiwa, tetap disebalik hatinya, "suamiku adalah suamiku". Ratapannya bila disahut suami, sejuk hatinya, kuat jiwanya. Dia yang sentiasa berdoa, "pujuklah aku wahai suamiku, sikapku hanya untuk menyerumu".
Suami pula lain halnya. Sentiasa tegas, acuh tak acuh, endah tak endah. Langsung tidak peduli, "hal di rumah awak selesaikan", begitu lantang sekali. Tapi dalam diam, dibereskan kerja isteri, dalam diam, menyimpan kenangan kasih tersimpul. Usaha dan harapan adalah untuk keluarga tersayang. "Walau isteriku menjauh, dia tetap isteriku, walau hati terluka, dia tetap isteriku. Aku tahu muslihatmu, tapi aku rindu dengan rindumu". Tergamit keletah isteri, bila menyendiri, tersenyum seorang. Di sebalik hatinya, "ingin ku lihat kau bahagia, janjiku dulu tidak pernah ku lupa. Tetaplah kamu di sisiku, aku sayang padamu".
Anak-anak, membesar sepantas masa. Ada yang menjadi pahlawan, ada yang menjadi pendeta, ada yang menjadi negarawan. Tapi pada mata si anak, ayahnya adalah kekuatannya, ibunya adalah sumber semangatnya. Walau tingginya duduk, tetap merendah di sisi orang tua. "Aku tetap anak, walau siapa pun aku." Di mata anak, bapanya tetap seperti dulu, ibunya tetap yang mendodoinya. Di sebalik hati anak, "aku adalah permata ayah dan ibu, cuma sekarang aku tidak lagi merengek, aku hanya mengeluh". Doa anak, "jangan ayah dan ibu pergi dahulu, aku kan hilang arah dan tuju. Aku tetap anak manjamu".
Aku melihat banyak peristiwa yang melibatkan ayah, ibu, anak, suami dan isteri. Tidak sebanyak orang-orang tua, tapi ia membuat aku terbayang, rupa-rupanya di sebalik hati mereka, sangat tulus. Cuma tak terluah dengan perkataan.
Rakan-rakan sekalian,
Sampaikanlah apa yang disebalik hati kita, walau tebal muka atau herot mulut. Kerana apa yang ada di sebalik itulah yang akan menguatkan hubungan kita. Sampaikanlah walau melalui surat, hadiah atau lain-lainnya. Masa kita atas muka dunia ini, tidak lama. Malah kita tidak akan tahu bila masa kita akan terkubur. Jadikanlah hari-hari mendatang ini bersinar dengan apa yang ada di sebalik hati kita.
Sampaikanlah salam dari sebalik hati kita kepada mereka, kerana mereka telah tersemat kemas di sana.
Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment