Kok dilipat sekecil kuku,
Kok dibentang seluas alam.
- bidalan lama
Assalamualaikum..
Aku pernah membaca pasal bidalan ni lama dulu. Tiada kesan yang mendalam pun, faham pun tidak. Sejak 5-6 tahun lepas, selepas sekian lama (berbelas tahun jugak), aku jumpa balik bidalan ni. Sejak dari hari itu, aku sentiasa memerhatikan maknanya. Tiada apa yang istimewa padanya, cuma ia sangat menarik perhatian aku.
Untuk mendapatkan maknanya, aku banyak berbincang dengan orang yang lebih tua, dan orang muda yang lebih tahu. Oleh kerana ianya bidalan Melayu, aku banyak mencari tentang Dunia Melayu. Berbaloi juga.
Apa pun maknanya, perjalanan mengorek rahsia bidalan ini sangat mencorak pemikiran aku. Rupa-rupanya, bidalan itu tiada apa-apa yang istimewa pun, 'cuma rasa ingin tahu maknanya' yang istimewa. Cuba kalian jawab, apa benda yang bila kita lipat sekecil kuku saja, tapi bila bila kita bentang seluas alam. Apa bendanya?
Jawapannya ialah, diri kita sendiri. Hati kita sendiri. Haaa.. tak percaya kan? Manusia perlukan rasa tenang, besar mana tu? Tapi apa yang manusia mahu, memang seluruh alam. Semua pun dia mau. Hahahaha... kalau tak puas hati dengan jawapan aku, sila nyatakan jawapan anda. Apa pun halnya, bukan jawapan yang penting, perjalanan kepada jawapan itu yang paling penting.
Mengapa hal aku timbulkan di sini? Sebabnya ialah, aku nak tunjuk kepada kalian kenapa Membaca Itu Indah, itu sahaja.
Daripada Blog Kritikal, yang ditulis oleh Maher Dien, ada satu statement tentang Pengalaman yang menrik untuk aku kongsi. Ia ditulis seperti ini, PENG-ALAM-AN. Penggunaan imbuhan peng- dan -an dalam perkataan alam mewujudkan pengalaman.
Bila kita ertikan PENGALAMAN, ia memberi makna apa sahaja yang pernah dilalui oleh seseorang itu, dan ia memberi pengajaran serta pengetahuan kepada yang melaluinya berkenaan perkara yang dilaluinya. Jadi, apa kaitan antara ALAM dan PENGALAMAN?
Jika kita bandingkan dengan Mari Membaca 2, kita akan melihat bahawa pengalaman adalah hasil pembacaan kita kepada alam, di mana alam adalah tempat kita membaca. Manakala perbuatan membaca itu sendiri adalah apa yang diALAMi oleh yang membaca alam. Hasil pembacaan atau pengalaman adalah set maklumat yang kita dapati daripada pembacaan kita.
Hasilan pembacaan/pengalaman ini, kita akan gunakan semula sehari-hari secara sedar ataupun tidak. Maklumat ini jika kita uruskan secara bijak dan sedar, seseorang itu akan berubah menjadi lebih bijak dan lebih menghargai apa yang ada disekelilingnya, sama ada orang lain atau apa sahaja perkara yang ada padanya. Dengan kata lain, seseorang itu akan lebih BERSYUKUR dengan apa yang ada padanya.
Jadi, apa gunanya pengalaman kepada kita? Ia berbalik kepada konsep Sebab-Akibat. Setiap apa yang akan dilakukan kita pasti akan menimbang kembali apa yang telah kita alami, baik dan buruknya. Dengan cara ini, setiap masalah, kecil atau besar kita akan tangani dengan cara yang bijaksana.
Bagaimana jika kita tidak memandang berat setiap pengalaman yang kita telah lalui? Pertimbangan kita akan sentiasa sama dengan sebelum kita melalui pengalaman tersebutlah. Setiap apa yang kita sesali, kita akan sesal lagi. Tiada lagi kebijaksanaan. Hanya perkara yang sama berlaku berulang kali. Apalah bezanya kita dan haiwan?
Pertimbangan kita sering berkait dengan cara kita membaca, atau pendekatan kita semasa kita mengalami sesuatu pengalaman. Secara ringkasnya, kita boleh lihat dalam dua ayat dalam AQ, pertama, ayat 1 surah Al-'alaq, ..bacalah dengan Nama Tuhanmu yang Maha Mencipta..., kedua, ayat kedua surah Al-Fatihah, ..segala puji bagi Allah, Tuhan sekalian alam..
Cara kita membaca, harus kita sertakan dengan keyakinan kita kepada sebab musabab ia dijadikan, mengapa Tuhan menjadikannya. Bila kita mengalami sesuatu perkara, bila kita kembali kepada sebab musabab Tuhan mengizinkan kita mengalaminya, kita akan lebih tenang dan lebih faham. Mungkin kita tak akan terus tahu sebab musababnya, teruskan membaca/berfikir/perhatikan. Seperti yang telah tertulis dalam ayat 5, Surah Al-'alaq, ..yang mengajarkan kamu apa yang kamu tidak tahu.. Pemerhatian kita kepada alam dalam keadaan kita yakin dengan Yang Mencipta alam ini, pasti kita akan temui jawapannya.
Begitu juga dengan ayat 2 surah Al-Fatihah. Kita membaca bukan untuk mencari kepujian untuk diri kita sendiri. Dalam ayat itu telah jelas bahawa SEGALA PUJI untuk Dia. Bila kita tahu, maka kita tahu, itu saja. Jadi, kita akan lebih bijaksana dengan pilihan kita.
Itulah Indahnya Membaca, agar kita lebih bijak dalam membuat pilihan. Pilihan sentiasa di tangan kita seperti yang telah dijelaskan dalam Mencari Jalan - Pengenalan.
Bila kita menyampaikan apa sahaja pengalaman kita, pembacaan kita dan pengetahuan kita, tidak ada yang tidak baik melainkan ia akan meningkatkan kebijaksanaan kita. Hanya bila kita sampaikan sesuatu perkara itu berlandaskan Tuhan yang Maha Mencipta dan Mentadbir Alam ini, kebijaksaan itu akan membawa kita kepada pilihan yang baik.
Demi untuk mencari pilihan yang baik, kita terpaksa, mahu tidak mahu, untuk membenarkan apa yang benar. Tiada lagi unsur sentimen atau yang menurut hawa dan nafsu lagi dalam pertimbangan. Kekuatan kita untuk menerima yang Hak dan menolak yang Batil, pasti akan membawa kita kepada pilihan atau jalan yang baik, walaupun orang lain tidak suka. Jalan yang baik ini akan membentuk peribadi kita, perkataan kita dan seterusnya, kebijaksanaan yang diperlukan oleh semua manusia.
Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment