POST

Friday, November 30, 2012

Kawan dan Kahwin - Episod 3

Assalamualaikum

Perkahwinan bukan mainan. Hubungan antara lelaki dan perempuan dalam satu perkahwinan, bukan sahaja mendapat redha Allah, malah juga redha manusia.


Namun, institusi perkahwinan kini mendapat tentangan sengit daripada semangat bercinta yang makin bercambah. Bercinta itu tidak salah, pokok pangkalnya, adakah kita bercinta dengan penuh tanggungjawab? Tanggungjawab yang macam mana?

Percintaan biasanya melibatkan sepasang kekasih, atas dasar suka menyukai. Namun, hubungan itu biasanya disemai dan bercambah tanpa ikatan yang jelas. Daripada hubungan itu timbul perasaan "insecure". Seterusnya, bila perasaan insecure ini berkembang, mulalah dialog baru, "kalau U cintakan I, buktikan..". Mulalah nak merepek dengan segala perangai. Itu fenomena yang kita biasa dengar. Apa yang pelik, ia sentiasa berulang-ulang dari dulu. Kita tak pernah ambil pengajaran ke? Anak-anak muda kita tak pernah tahu ke?

Kalau dah cinta, letakkanlah tanda. Tanda macam mana? Buktikanlah dengan satu perjanjian. Kalau adat Melayu, bagilah cincin tanda oleh keluarga lelaki kepada keluarga wanita. Kalau asyik cakap saja, "I lap U". Jawab pula sorang lagi, "I lap U too.."lama-lama kering lagu tu saja, pakat dok lawan lap.


Inilah tanggungjawab yang kita sebutkan dari tadi. Perasaan nak bercinta ini fitrah. Tidak ada salahnya. Namun, letakkan tanggungjawab itu di depan. Kita kena rasa yang diri kita ini dipilih oleh Maha Pencipta untuk hidup atas muka bumi ni. Jadi, kita nak bercinta dengan siapa pun, kita kena pilihlah sebaik mungkin. Pilih bukan bermakna terlalu memilih. Pilih dengan dasar tanggungjawab tadi juga. Ada orang pilih pasangan sebab menyenangi satu sama lain, ada yang pilih untuk menolong, ada yang pilih agar terpelihara keduanya daripada jalan yang tidak baik. Pendek kata, pilihlah pasangan kita kerana Cintakan Allah. Manusia ini bernyawa dan boleh putus nyawa. Allah sahaja yang kekal.

Kita biasa mendengar tentang memilih jodoh, kan? Selalu kita dengar, 4 faktor dalam memilih jodoh, 

1. Harta, 2. Keturunan/kedudukan, 3. Kecantikan, 4. Agama.

Cuba perhatikan. Jika kita sebut begini;

1. Mampu, 2. Latarbelakang yang baik, 3. Wajah yang kita senangi, 4. Melaksanakan agama.

Mana lebih mudah untuk kita faham?

Dalam 4 faktor ini, bila kita ambil satu persatu, MAMPU - boleh diusahakan, LATAR BELAKANG - manusia boleh berubah, WAJAH - manusia akan tua, AGAMA - boleh belajar.

Kita memang boleh penuhi kesemua kriteria yang ditetapkan, Malah siapa pun boleh penuhinya. Dengan syarat, kita kena SEDAR DIRI.  Kalau kita tahu kita boleh memilih, pasangan kita juga berhak memilih. Jika dia ingin memilih yang baik-baik, kita juga ingin memilih yang baik-baik. Kan adat tu. Biasalah. Jadi pokok pangkalnya, kita SEDAR DIRI tak? Kalau dah sedar kita tak sebaik mana, usahakanlah. Jalan untuk berubah sentiasa terbuka.

Semangat untuk berubah kepada yang lebih baik ini yang akan menentukan jalan kita kemudian hari. Kalau kita masih meletakkan syarat pada orang lain, tanpa memikirkan syarat orang lain, lagu mana. Bak kata P.Ramlee, "ini tidak adil...".

Cuba renungkan diri kita. Dalam 4 perkara ini, adakah kita usahakan kemampuan kita? Adakah kita berusaha untuk berubah kepada lebih baik? Adakah kita menjaga kesihatan kita? Adakah kita berusaha menjaga agama kita? Bukan bercinta yang menjadi pokok pangkal sesuatu hubungan perkahwinan. Inilah 4 perkara asas yang perlu kita pertimbangkan. Ini akan membentuk tanggungjawab kita kerana kelangsungan sesuatu perkahwinan bermula di sini. 

Berkawan itu tidak salah, bercinta itu tidak salah, tapi kena ingat, NAK KEMANA KITA DENGAN HUBUNGAN INI. Kalau tiada hala dan tuju, sebaiknya tak perlulah.

Senario - seorang gadis dipikat oleh seorang jejaka.

"Hai awak, boleh berkenalan?"

"Assalamualaikum. Salam pun tak bagi, nak berkenalan pulak.." jawab si gadis.

"Maaf, saya terlalu kagum dengan wajah awak."

"Alhamdulillah. Wajah saya akan tua satu hari nanti. Tapi cara awak ni, boleh berubah tak bila dah berumur? Saya kurang senang ditegur begini."

Pandangan - apa agaknya jawapan si lelaki? Lebih penting lagi, apa agaknya pandangan kita bila kita dengar cerita yang macam ni? Ada rasa ralat? Atau kita rasa, mustahil jadi macam ni? Ini yang aku cuba nak bagi tahu, semangat membentuk diri dan orang lain harus bermula dengan pandangan kita. Cuba terapkan dalam diri kita kaedah bersosial yang lebih baik agar ia menjadi contoh kepada yang lain, atau ia menjadi teras hidup kita tanpa berharap ia menjadi contoh. Kalau kita nak sesuatu perkara itu menjadi lebih baik, kita kena sentiasa melaksanakan perkara yang baik, sekurang-kurangnya mengharapkan perkara yang baik, dan bercakap tentang perkara yang baik. Janganlah asyik nak mengata dan menghukum sahaja. 

Kita harus sentiasa memberitakan kaedah-kaedah sebegini kepada yang lebih muda, bukan menanam semangat fanatik sehingga menutup pintu orang lain kepada kebaikan. 

Sebagai kesimpulan, ini pandangan aku. Aku percaya cinta itu anugerah. Tetapi Allah juga telah memberitahu bahawa Dia sentiasa menunjukkan kepada kita dua jalan. Kita kena memilih jalan kita. Setiap jalan yang kita pilih, segala pakej jalan itu, kita kena terima. Pilihlah jalan yang baik. Jalan yang diredhai Allah dan manusia. Percayalah, dalam diri kita masih ada kebaikan, jika kita rasa kita ini kurang baik. Suburkanlah benih kebaikan yang ada, laksanakanlah perkara yang baik, walau ia remeh pada mata orang lain. 

Alhamdulillah.


No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...