POST

Wednesday, November 28, 2012

Kawan dan Kahwin - Episod 2

Sambungan dari entry yang lepas.

Berkawan dan Berkahwin, apa dan mengapa? Aku tulis sebab orang tanya, lepas tu, aku rasa cantik juga kalau kita kongsikan perkara ini bersama, kongsikan pendapat kita agar kita sama-sama ambil iktibar, boleh kan?

Dalam budaya Melayu, agama menjadi teras kehidupan. Orang Melayu, semasa beragama Hindu, berpegang kuat kepada Hindu, bila beragama Buddha, berpegang kuat pada Buddha, begitulah seterusnya, bila Islam menjadi teras hidup, orang Melayu berpegang kuat pada Islam sehingga ke hari ni.


Budaya Melayu kita tidak menonjolkan hubungan lelaki dan perempuan sebagai bebas. Ini kerana, dalam perhubungan lelaki dan perempuan tertulis perkataan tanggungjawab, yang hanya dapat disempurnakan dengan akad dan nikah. Tanpa akad dan nikah, perjanjian tanggungjawab antara 2 jiwa tidak mungkin berlaku.

Walaupun begitu, kita banyak didedahkan dengan kisah-kisah lama yang bercerita tentang lelaki dan perempuan, Uda dan Dara misalnya, kan? Kita kena ingat, ini kisah masyarakat, atau dalam bahasa pendidikan, kisah tentang social study. Watak Uda dan Dara hanyalah sebagai fokus cerita, plot cerita berkisar tentang pandangan masyarakat umum masa tu tentang banyak perkara, darjat contohnya, pandangan masyarakat tentang harta dan kepercayaan, kalau nak tengok contoh lain. Kisah-kisah ini sebagai pengajaran dan pelajaran untuk generasi seterusnya. Itu pun kalau kita tengok dari sudut itu.

Berbalik kepada persoalan Kawan dan Kahwin. Ada satu kata-kata dalam sebuah filem, aku pun tak ingat filem apa; "There is no friendship between man and woman.. only feeling.." Anda setuju?

Apa itu Berkawan? Pandangan aku, berkawan hanya salah satu daripada beberapa hubungan yang boleh dinamakan antara 2 atau lebih manusia. Hubungan-hubungan lain yang ada termasuklah:
  1. Suami-Isteri
  2. Anak-Ibu Bapa
  3. Saudara - Saudara
  4. Sahabat-sahabat (kawan pun sama juga)
  5. Bos-Pekerja
  6. Guru-Murid
Mungkin ada lagi hubungan lain yang wujud, kita namakan sendiri, semuanya berbalik kepada 6 hubungan yang diletakkan di atas. Semua hubungan ini terjalin dengan TANGGUNGJAWAB, ada ikrar secara langsung atau tidak. Hubungan antara lelaki dan perempuan tertakluk dalam 6 hubungan ini sahaja. Kalau kita perhatikan, hubungan antara lelaki dengan lelaki atau perempuan dengan perempuan juga terbatas dalam 6 ini juga.

Lihat hidup kita sehari-hari. Mengapa dan bagaimana kita boleh berkawan? Rakan sekolah, minat sama, satu tempat kerja, satu kampung? Batas hubungan itu hanya tertakluk dalam mengapa dan bagaimana kita boleh berkawan sahaja. Tanggungjawab juga tertakluk dalam batas yang sama. Kalau kita nak luaskan lagi batas hubungan ini, yang tinggal hanya satu hubungan sahaja, kerana Allah; Hubungan saudara seagama

Hubungan lelaki dan perempuan dalam konteks berkawan, secara umumnya tiada. Apa yang ada hanyalah, satu tempat kerja yang batasnya adalah dalam ruang dan masa kerja sahaja, satu sekolah, sama juga ruang dan masanya, begitulah juga contoh selainnya. Bila ada pendapat atau budaya yang membawa persoalan berkawan ini melebihi batas tersebut, ia mula dipanggil bercinta. Natijahnya, hari ini kita bergelut dengan isu sosial yang tidak berkesudahan.

Pandangan aku, Bercinta adalah hubungan sayang antara lelaki dan perempuan tanpa ikatan tanggungjawab. Kata orang tua-tua, dah sayang sangat, kahwin sajalah, betul kan? Buat apa ditunggu-tunggu? Takut? Di sinilah letaknya tanggungjawab tadi, kalau dah takut dengan tanggungjawab, tak perlulah buat aniaya pada orang lain. Mak bapak teraniaya, anak gadis teraniaya, keluarga teraniaya, masyarakat seluruhnya teraniaya dengan sikap tak bertanggungjawab lagu ni. Jangan kita letak isu duit tak cukup sebagai alasan. Duit cukup atau tidak, kita yang tentukan, bukan tanggungjawab yang tentukan. Mas kahwin dan belanja perkahwinan, kita yang tentukan. Besar mana kenduri nak buat, kita yang tentukan. Apa lagi alasan?

Isu berkahwin ini adalah isu Fardhu, tidak boleh disulitkan. Jika kita menyulitkan isu Fardhu, rasakan sendirilah masalah dalam masyarakat. Hal semacam ini kalau aku tengok, selalu menjadi dilema anak-anak muda. Sama ada terikat dengan syarat keluarga, atau terikat dengan impian nak kahwin macam putera-puteri raja.

Berkawan bukan syarat utama Berkahwin. Siapa yang boleh nafikan hal ini? Nak kenal hati dan budi? Iyelah tu. Kalau kentut pun tak bunyi, bau pun wangi, hati budi yang mana yang nak kenal ni? Alasan saja.

Keluarga memainkan peranan penting, masyarakat memainkan peranan penting. Walaupun begitu, jiwa anak-anak muda ini memainkan peranan yang lebih penting lagi. Jika jiwa mereka tidak terisi dengan budaya berpegang kepada agama, keluarga pun tak boleh halang, masyarakat pun tak mampu nak buat apa.

Kalau saya dah berkenan kat dia, saya nak buat apa?

Ada kemampuan, masuklah meminang. Duit? Keperluan kan? Kalau tak cukup belanja, pasal apa nak bercinta? Bercinta pun pakai duit jugak kan, lagi banyak pulak tu. Telefon berjam-jam, merajuk, beli bunga, bukan murah dan lain-lain lagi. Baik kahwin saja.

Aku tak mampu nak bagi nasihat. Aku kongsi apa yang aku tahu, sebab aku ini makin tua, ramai yang lebih muda, mungkin tak perasan atau tak nampak jalan. ALASAN untuk bercinta TIADA, melainkan KAHWIN sahaja. Setuju? Kalau tak nak kahwin, jangan bercinta, buang masa dan buat naya saja.

Alhamdulillah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...