POST

Wednesday, January 30, 2013

Perhubungan Manusia

Assalamualaikum..

Kali terakhir aku menulis hampir 2 minggu yang lalu. Banyak perkara nak diuruskan, nak menulis pun tak rasa senang.

Dalam 2 minggu ni, aku banyak berurusan dengan ramai orang. Kadang-kadang aku rasa cara aku berurusan tak betul; kasar, tak senyum dan macam-macam lagi. Aku kena baiki lagi komunikasi aku dengan orang lain. Walaupun apa alasannya, sakit hati, geram atau apa pun, kita bukan mendendami orang yang menguruskan, tapi urusan yang tersangkut tu yang kita emosi sikit. Orang yang menguruskan mungkin dalam kondisi atau keadaan yang tidak menentu kerana hal lain, kan! Aku kena lebih memahami, dengan harapan orang lain pun akan memahami juga. Sebagai contoh, orang yang bekerja perlu mematuhi arahan, sama ada polisi atau arahan bos, kita kena lebih flexible  supaya boleh dimudahkan urusan. Pengajaran yang baik untuk aku.

Dalam entry ni, aku nak menulis pasal hubungan antara manusia, lanjutan daripada pengalaman aku seperti di atas.

Dalam hidup kita, kita semua manusia kan, perhubungan yang wujud aku kelaskan kepada 3 jenis.

  1. berbaik dan bersangka baik
  2. berperang
  3. berkhianat dan bersangka buruk
Berbaik dan Bersangka Baik

Hubungan yang sangat diinginkan oleh semua orang. Walaupun berbeza bangsa dan agama, berbaik dan bersangka baik akan mewujudkan suasana yang harmoni dan sejahtera. 

Hubungan ini perlu diusahakan, apabila berjaya perlu dijaga bersama-sama. Ia memerlukan struktur masyarakat yang jelas dan sistem peradaban yang difahami semua orang. Kalau ada sedikit yang tidak faham, tidak mampu menjejaskan hubungan secara skala besar kerana kefahaman umum tentang nilai adalah jelas.

Baik ini ada batasnya. Jadi kita perlu bersangka baik untuk melihat batas yang jelas. Dengan bersangka baik, bermakna kita sentiasa aware  dengan perkara yang tidak baik yang mungkin berlaku. Mengapa kita perlu bersedia atas perkara buruk yang boleh berlaku atau dalam bahasa Inggeris, worst case scenario?  Ini kerana, hubungan baik ini perlu dijaga dengan bersungguh-sungguh. Siapa yang bertanggungjawab untuk menjaga hubungan ini? Kita semualah.

Antara ciri-ciri yang perlu dalam mengekalkan hubungan yang baik ini, pertama, bersikap BENAR. Mementingkan kebenaran lebih daripada kepentingan. Kedua, bersikap AMANAH, baik pada pegangan sendiri mahupun pada pegangan orang lain. Ketiga, sentiasa menyampaikan kebenaran dan kebaikan, jangan asyik menyampaikan keburukan dan kelemahan. Keempat, bersikap bijaksana dan mementingkan hubungan yang sedia ada, jangan hanya kerana nyamuk seekor, longkang sebatu jauhnya pun dipersalahkan, kelambu pulak dibakar.

Hubungan ini perlu diusahakan secara individu, masing-masing sedar dengan tanggungjawab masing-masing. Kalau kurang cerdik, bertanya kepada yang cerdik. Kalau kurang tahu, bertanya kepada yang tahu. Bukan asyik buat kesimpulan sendiri tanpa maklumat yang jelas. Teknik membuat keputusan perlu ada rujukan yang jelas. Perkara yang paling baik, keputusan adalah hasil perbincangan. 

Hubungan ini juga perlu diusahakan dalam keluarga. Galakkan perbincangan dalam keluarga dalam membuat satu-satu keputusan yang melibatkan ahli keluarga dan hormati keputusan tersebut. Didik anak-anak dengan nilai kebenaran, bukan hanya ikut-ikutan. Ibu dan ayah pula sentiasa mematuhi apa yang telah ditetapkan bersama-sama sebagai contoh kepada anak-anak. Elakkan emosi berlebih-lebihan dan sentiasa maklum dengan perspektif masing-masing, anak-anak dengan mata budak, ibu dengan mata wanita dan ibu, ayah dengan mata lelaki dan ayah.

Seterusnya, ia perlu diusahakan dalam bermasyarakat. Kena ada kepala, biasanya yang lebih tahu, selalunya orang tua. Perlu sentiasa menghormati batasan, sama ada batasan individu, pegangan mahupun kawasan.


Berperang

Mengapa manusia berperang? Selalunya untuk mempertahankan diri, ada juga kerana hendak menguasai. Ini adalah 2 jawapan utama mengapa manusia berperang.

Apa yang dikatakan perang? Konfrontasi atau pertembungan antara dua atau lebih pihak. Ia boleh melibatkan senjata, penulisan, perdebatan mahupun isyarat emosi.

Bila kita sebut PERANG, kita membayangkan kemusnahan harta benda dan nyawa. Itu memang tak boleh dinafikan. Perang sebegitu melibatkan PERTEMPURAN. Pertempuran adalah sebahagian daripada peperangan. Namun, perang juga boleh dari sudut ideologi yang diperjuangkan secara bertulis. Kita juga mendengar tentang Perang Dingin, tiada pertempuran tapi hubungan tegang dalam semua aspek kehidupan. Perang juga berlaku secara lisan, atau kita biasa panggil berdebat. Kita kena ingat, berdebat dan berhujah adalah dua perkara yang berbeza.

Pendek kata, perang ini bertujuan untuk mencari kemenangan. Orang yang tidak berakal akan mencari kemenangan secara semberono atau berbentuk fizikal, nyata yang "Aku Menang". Akan tetapi, orang yang bijak akan mencari kemenangan yang sebenar, menepati apa yang dipanggil kemenangan yang menyeluruh. 

Kemenangan yang menyeluruh tidak memerlukan kita menang pertempuran atau perdebatan. Kemenangan yang menyeluruh hanya berlaku apabila Hubungan Baik dan Bersangka Baik dapat diwujudkan, sekurang-kurangnya dalam masyarakat kita. Kalau kita lihat dalam bahasa Inggeris, perang adalah War.  Manakala pertempuran adalah Battle.  

Perlu kita berperang? Pernah dengar slogan ni, "Perangi Dadah", "Perangi Jenayah" atau "Perangi Rasuah"? Kan perang tu. Pada pandangan aku, perang itu perlu difahami tujuan dan konteksnya, bukan ditolak dengan perspektif sempit semata-mata. Sebagai Muslim pun kita dituntut untuk berperang dengan tuntutan jahat hawa nafsu. Tak semestinya hawa nafsu kita sahaja, hawa nafsu orang lain pun kita kena jaga/perang. Hawa nafsu anak bini kita, keluarga kita, kawan-kawan kita. Di sini letaknya perbincangan dan didalamnya adalah tempat untuk kita berhujah mengajak kepada kebaikan. Jika seruan kita ditolak, lepas tanggungjawab kita. Tapi kalau masih nak mengajak kita menurut hawa nafsu jahat, kita perlu bertahan. Ini juga satu contoh perang.

Peperangan dalam konteks ini, memerlukan ketahanan jiwa dan fizikal bersendi dengan ilmu dan kefahaman. Semua kita mahukan yang terbaik, "barang baik, bukan murah". Kita akan usahakan yang terbaik bersama-sama.

Orang yang bernafsu jahat juga berperang. Mereka berperang untuk menegakkan nafsu jahat mereka. Pernah dengar ayat ni, "tak pe lah, kubur masing-masing.." atau ".. tak salah macam ni, kita ambil, bukan curi.." Jadi, kita kena pilih side  mana kita nak duduk, sebab atas pagar sangat tajam, takut tak tahan kot. 


Berkhianat dan Bersangka Buruk

Ini adalah hubungan yang dibenci oleh sesiapa pun. Hubungan sebegini wujud dalam manusia yang jiwanya sakit. Mungkin mereka meletakkan tujuan dan niat itu murni, tapi perlaksanaan dengan jiwa yang sakit hanya akan mengjangkitkan manusia seluruhnya dengan perpecahan dan dendam.

Wujudnya hubungan sebegini selalunya akibat berebut kepentingan, ingin berada di atas, ingin diiktiraf, pendek katanya, BEREBUT. Hidup dalam keadaan berebut ni, memang macam tu lah. Macam haiwan. 

Ada 4 perkara yang manusia akan berebut. Pertama, harta, kedua, pasangan, ketiga, pangkat dan keempat adalah kuasa. Sejak dari zaman sebelum Firaun lagi, manusia dan berebut 4 perkara ini. Bila menjadi rebutan, perpecahan pasti akan berlaku. Sebab itu semua agama menggariskan pengurusan harta, keluarga, pangkat dan kuasa secara tersusun untuk mengelakkan perpecahan.

Bila wujud perebutan, 4 perkara akan timbul. Pertama berbohong, kedua, tidak amanah, ketiga, dakyah atau sebaran berita bohong, dan keempat, sentiasa mencari jalan untuk meningkatkan hasil rebutan. Hasilnya, hidup akan sentiasa dalam keadaan takut kehilangan.

Kita nak ke hidup dalam keadaan ni? Kalau nak, teruskan berebut. Kalau tak nak, perangi tuntutan jahat, jangan biarkan ia bebas.


Kesimpulan

Dalam mana-mana masyarakat pun, ketiga-tiga golongan ini wujud. Malah sifat ketiga-tiga hubungan ini juga wujud dalam jiwa kita. Sifat yang mana kita mahu kembangkan, dan yang mana kita mahu buang bergantung pada pilihan kita. Apa pun, bertindaklah dan buatlah keputusan atas dasar ilmu, bukan emosi semata-mata. Bentuk hubungan kita sesama manusia adalah projection  atau manifestasi atau hasil dari perbuatan kita sendiri. Sila lihat diri kita sebelum mencari salah orang lain. 

Aku pernah dengar kata-kata Dr Fadzilah Kamsah, "..jika anak degil dan keras hati, ibu-ibu sila check diri sendiri, semasa mengandung ada tak buat perkara yang menyakitkan hati suami atau ibu.. buat solat taubat dan mohonlah ampun dengan Allah.."

Jadi aku pun terfikir, kalau isteri degil atau keras hati? Bapa-bapa atau suami kena la solat taubat dan mohon ampun, kan? Kenapa ya? Aku rasa sebabnya supaya ibu dan ayah/suami tidak hanya menyalahkan mereka yang berada dibawah tanggungjawab sahaja, tetapi sentiasa periksa diri, tengok sama ada kita bertanggung jawab atau tidak. Hmm.. aku rasa la.

Nanti kita sambung lagi, InsyaAllah..

Alhamdulillah..

  

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...