Assalamualaikum..
Hari Jumaat, 21 Safar 1434H.
Anak-anak dah mula bersekolah atau bertadika sejak dua hari yang lalu. Sebagai melunaskan tanggungjawab, anak-anak kita disekolahkan mengikut umur sepatutnya.
Kita meletakkan tanggungjawab mengajar kepada yang lebih bijak mengajar, yang selama ini kita gelarkan guru atau cikgu. Satu ketika dulu, kita juga berada dalam situasi yang sama seperti anak-anak kita, masihkah kau ingat?
Dengan kebergantungan kita kepada cikgu, kita pun keluarlah mencari rezeki untuk menampung perbelanjaan sekolah, makan, pakai, tempat tinggal dan hal-hal lain. Alhamdulillah, rezeki Allah memang berterusan, semoga berterusan.
Masihkah kau ingat? Semasa mula-mula menjejak kaki ke sekolah, apa reaksi kita? Seronok? Takut? Malu? Itulah perasaan anak-anak kita sekarang.
Dalam melayari zaman persekolahan, aku masih ingat apa yang mak aku pesan. Boleh kata setiap hari. "..belajar rajin-rajin.." Tapi sekarang, bila aku nak pesan kat anak aku, belum sempat aku cakap lagi, dia dah sekolahkan aku. Habis semua yang dia belajar, dia sembur masa dalam kereta nak balik rumah. Apa lagi aku nak pesan?
Bini aku mengambil peranan bila aku blur. "Kakak dah pandai, tapi kakak kena sayang Allah tau. Buat apa pandai-pandai kalau Allah marah kat kita." Sejuk perut mak dengar apa yang bini aku cakap. Si adik pula menambah, "Kalau kita sayang Allah, baru Allah sayang kita, Allah kan kuat. Malaikat kan super hero. " Tersenyum aku sorang-sorang mendengar anak-anak aku berceloteh. Ni bukan berceloteh lagi dah, ni dah kira menyekolahkan bapak dia.
Apa yang aku dapat bila berkongsi pengalaman anak-anak bersekolah dalam zaman serba canggih ni, yang pertama, tanggungjawab guru di sekolah adalah mengajar silibus bersesuaian dengan umur anak-anak. Tanggungjawab ibu dan bapa di rumah, memberikan contoh terbaik dalam melayari kehidupan. Kita bukanlah contoh yang baik sangat, tapi sekurang-kurangnya apa sahaja yang baik, kita tunjukkan, baik secara sengaja atau tidak. Solatnya, puasa, hormat menghormatinya, sayang satu sama lain, perlu ditunjukkan dengan jelas.
Aku boleh kategorikan diri aku sebagai garang dengan anak-anak, tapi yang peliknya, ada masa anak aku takut, ada masa dia tak takut langsung. Tak cukup garang ka? Aku tak faham psikologi anak-anak, tapi aku dapat rasa, setiap janji yang kita bagi, dia akan pegang sehingga kita tunai. Bila kita tidak melaksanakan janji, dia langsung tak takut nak mengatakannya. Tapi bila janji yang dia buat dia tak dapat tunai, dia akan takut campur bersalah. Fitrah kan, memang lagu tu laa. Berani kerana benar, memang ada dalam diri setiap anak-anak.
Perkara kedua yang aku boleh kongsi, anak-anak tidak peduli siapa kita. Apa yang mereka tahu, kita adalah ibu dan bapa mereka. Kita bukan peguam, kita bukan doktor, kita bukan professor, kita bukan jurutera. Kita hanyalah mak dan bapak mereka. Ironi kan. Bersungguh-sungguh kita usaha sejak dari sekolah rendah dan mencapai apa yang kita ada sekarang, hujungnya kita hanyalah ibu dan bapa kepada anak-anak kita. Mana satu lebih puas, menjadi ibu bapa atau menjadi profesional?
Dulu aku hairan, di negara barat, ramai profesional sanggup berhenti kerja semata-mata mahu menemani anak-anak sepanjang zaman persekolahan. Baik ibu mahupun bapa. Sekarang aku faham.
Perkara ketiga yang aku boleh kongsi, anak-anak hanya tahu apa yang dia mahu. Apa yang kita mahu, kita kena beritahu dengan jelas. Selagi dia tak faham, dia buat setakat dia faham saja. Menjadi tanggungjawab kita untuk memberitahu mereka apa yang kita mahu. Persoalan, apa yang kita mahu untuk anak-anak kita?
Harapan mak bapak untuk anak-anak:
- menjadi anak yang soleh
- menghormati mak bapak dan orang yang lebih tua
- pandai belajar
- pandai mengaji
- tahu jaga diri
Ini contoh saja la. Banyak lagi. Apa sahaja harapan kita, kita kena beritahu secara jelas. Apa yang paling penting, pada pandangan aku, kita kena jelas apa yang kita mahu. Seterusnya kita kena sedar, picture is louder than a thousand words, action is louder than a thousand pictures.
Apa yang kita harapkan dari anak-anak, itulah yang kita kena laksana. Kena buat. Sebab kita mengharap rahmat Allah untuk anak-anak kita. Untuk kita sendiri, mau tak rahmat Allah? Untuk menggapai cita-cita mulia ini, kita kena didik anak-anak kita agar ikut apa yang Allah kata. Allah kata apa? Rujuk Al-Quran. Kita solat sebab Allah suruh. Puasa pun begitu juga. Hormat dan sayang ibu bapa sebab Allah suruh. Hormat dan sayang orang lain sebab Allah suruh. Ajar anak untuk kembali kepada Allah dalam setiap perkara adalah tanggung jawab ibu dan bapak. Bukan hantar anak pergi tahfiz, mak bapak melayang. Kot tak mampu nak hafal, takkan la sesekali jadi imam di rumah tak boleh?
Itulah 3 perkara yang aku dapat semasa hantar anak-anak masuk tadika baru-baru ni. Lepas hantar anak-anak pi sekolah, baru perasan yang aku ni tak buat lagi tanggung jawab aku dengan sepatutnya. Patut la, Nabi S.A.W. kata, anak-anak macam kain putih, mak bapak yang nak bagi corak. Kalau aku tak bagi corak, takkan nak biar cikgu bagi corak? Tak cikgu bagi corak, TV pulak bagi corak. Mampuih aku bila depa besau....
"..bapak yang bersalah dalam hal ini.." kata P. Ramlee, ponggah aku.
Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment