Assalamualaikum..
Hari ni, aku pergi kedai jalan kaki. Kereta masih di workshop. Sambil berjalan, aku melihat suasana yang sama sahaja sejak seminggu yang lalu.
Adakah suasana yang aku tengok hari ni sama dengan semalam? Adakah suasana esok masih akan sama dengan hari ini? Terfikir jugak, kalau sama, apa yang sama? Kalau tak sama, apa yang tak sama? Apa pun suasananya, semoga aku masih mampu berjalan dengan aman seperti hari ini.
Baru-baru ni aku layan TV9, Kung Fu Panda, ada satu kata-kata yang aku rasa agak famous,
"Yesterday is a history, tomorrow is a mystery, today is a gift...."
Banyak perkara semalam adalah kenangan buat kita. Ada yang sedih, ada yang gembira dan pasti ada juga yang kita tak nak kenang lagi. Semalam adalah sejarah jika ia tertulis. Semalam adalah sejarah jika ia adalah acuan siapa kita pada hari ini. Jika tidak, ia hanyalah kenangan semata-mata. Adakah peristiwa semalam menjadi sejarah atau sekadar kenangan kepada kita? Kenangan sifatnya sentimental manakala sejarah sifatnya objektif dan tidak memihak.
Ada orang kata, "Sejarah ditulis oleh yang menang.." atau "History was written by the winner...". Betul ke, aku tertanya-tanya juga. Siapa yang menang? Jika itu keadaannya, adakah sejarah yang tertulis itu benar? Boleh jadi ya, boleh jadi tidak, kan? Apa-apa pun, sejarah tetap sejarah walau siapa pun penulisnya.
Apa yang aku cuba sampaikan adalah, apa yang kita faham tentang sejarah kita? Diri kita, keluarga kita, bangsa kita, negara kita seterusnya kehidupan kita seluruhnya. Apa yang kita faham? Adakah dengan kefahaman itulah yang membentuk kehidupan kita pada hari ini? Atau mungkin kita tidak tahu dan dengan itu hidup kita pada hari ini dibentuk oleh keadaan hari ini?
Pandangan aku, sejarah adalah titik-titik peristiwa yang penting dalam perjalanan hidup kita, bangsa kita, negara kita dan agama kita. Perkembangan hidup, bangsa, negara dan agama kita adalah hasil daripada titik-titik penting ini hingga membentuk apa yang kita ada hari ini. Mensyukuri nikmat yang ada hari ini bukan sahaja dengan mempertahankannya, malah lebih dari itu, menjejaki kembali kebenaran tentang diri, bangsa, negara dan agama kita dan mempertahankan kebenaran itu dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana, kita mahukan sejarah yang objektif dan tidak memihak, bukan sejarah yang ditulis oleh pemenang.
Pada hari ini, kita melihat apa yang dipanggil keruntuhan akhlaq di kalangan muda-mudi. Kita juga melihat kefahaman agama yang semakin menurun dikalangan belia. Kita juga melihat manipulasi yang berleluasa. Kita juga melihat struktur masyarakat yang semakin terhakis. Kita juga melihat sosiologi seluruhnya berkecamuk, jenayah meningkat dan sebagainya. Itu yang aku tengok dalam akhbar-akhbar, TV dan perbincangan-perbincangan dalam forum-forum yang banyak diadakan. Semuanya telah menjadi perkara umum sekarang.
Hairan? Sangat hairan. Keruntuhan akhlaq? Bermakna dulu akhlaqnya bagus, barulah sekarang boleh dipangguil "runtuh", kan? Macam mana dulu bagus? Apa sebab ianya bagus? Mengapa sekarang runtuh? Hingga ke hari ini, apa yang aku tengok hanyalah perdebatan tentang keruntuhan akhlaq, akhlaq apa yang dibincangkan pun aku tak faham. Apa yang bagus, apa yang runtuh?
Kefahaman agama menurun? Dulu tinggi ke?
Manipulasi berleluasa? Dulu tiada manipulasi?
Struktur masyarakat terhakis? Bab ni aku memang percaya. Aku sempat hidup di zaman ketua kampung dan penghulu adalah orang yang penting. Pak Imam adalah tempat rujukan pelbagai masalah, bukan setakat masalah agama semata-mata. Sekarang memang semua orang dah hidup sendiri-sendiri, tiada lagi ketua kampung, penghulu malah Pak Imam pun. Kalau bab ni, aku memang percaya.
Semalam bangsa kita kuat, hari ni bangsa kita masih kuat dengan kenangan sejarah lampau. Realitinya, kita dibawah kuasa yang dipanggil EKONOMI. Padahal, ia hanyalah kepingan kertas yang kita sendiri letakkan nilai.
Semalam bangsa kita teguh struktur masyarakatnya, sekarang bangsa kita tak kenal jiran sebelah.
Semalam bangsa kita selesaikan masalah secara muafakat, hari ni kita serah kat polis dengan mahkamah semata-mata. "See you in court, Mr....!!!"
Macam mana agak hari esok? Adakah hari ini akan menjadi kenangan yang mahu dikenang oleh anak dan cucu kita? Atau kenangan yang ingin dilupakan?
Today is a gift. Really?
Struktur masyarakat kita dulu digelar feudal oleh mereka yang menang. Kenapa? Sebab ianya kuat? Apa pun, bangsa kita telah mewarisi dua perkara, yang jika kita kembali kepadanya kita akan kembali kuat.
Fikirkanlah tentang hari esok. Misteri hanya untuk orang yang meneka-neka. Jadikanlah pembangunan bangsa itu kerja home basis. Agar hari esok itu adalah hari yang telah kita jangka.
Sekadar pandangan... semalam aku datang, hari ni aku berkampung, esok aku menghilang...
Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment