POST

Tuesday, November 13, 2012

Mencari Jalan - Pengenalan

Pakai baju kancing suasa, Baju songket bertanjak segak
Keris keramat tersisip kemas, Bunga langkah cantik tersusun
Segala puji Yang Maha Kuasa, Memohon doa jalan nan tegak
Dek sangat hidup yang lemas, Moga khilaf setitik terampun

http://permainanmatematikaasyik.files.wordpress.com/2012/02/jkeluar1jwb.jpg
http://permainanmatematikaasyik.wordpress.com/2012/02/01/jawaban-cari-jalan-keluar-1/


Assalamualaikum..

Seminggu dah internet down kat rumah, seminggu la jugak bertandang ke kedai mamak, guna internet di sana. Penat. Bila talian kembali pulih, aku pun apa lagi, bertenet dengan internet la jawabnya, semalaman jugak, lepas geram.

Semalam aku membaca satu persoalan di FB oleh seorang saudara jauh (ewah), Macam mana nak masuk syurga?

Berat betul soalan tu, kan! Aku bukan nak tulis pasal nak masuk syurga, aku cuma berminat pasal Mencari Jalan secara umum
sahaja. Nak masuk syurga, cara nak senang faham, ikut apa yang Allah kata, buat apa yang Nabi S.A.W. buat. Tulis macam mudah, rasanya macam susah, tapi itulah realitinya. Kalau tak ikut, macam mana nak masuk syurga yang Allah janji? Kalau tak kerja, mana datang upahnya, kan? Aku tinggalkan dulu soalan ni, agar kita sama-sama berfikir.

 Mencari Jalan, apa yang dapat kita faham daripada perkataan ni?

Mencari datang dari perkataan CARI, sefaham aku, kata perbuatan untuk menemui sesuatu. Mencari melibatkan PENCARI yang MENCARI, hasilnya adalah CARIAN. Pencarian ini akan memenuhi 3 faktor, termasuk kehendak PENCARI, apa yang DICARI dan tempat CARIAN.

Jalan pula adalah kata nama yang boleh melambangkan apa sahaja yang menunjukkan arah tuju, sama ada jalan raya, kefahaman mahupun cara untuk mencapai maksud akhir".


Jadi MENCARI JALAN boleh ditafsirkan sebagai "untuk menemui sesuatu yang melibatkan arah tuju seperti jalan ke destinasi atau kefahaman atau cara untuk mencapai maksud akhir" (atas apa yang aku faham).

Dalam kita mencari jalan, perkara pertama yang harus kita soal kepada diri kita sendiri, ke mana hujungnya jalan yang kita cari? Bagi memenuhi ciri-ciri hujung jalan yang kita cari, kita harus mencarinya di tempat yang betul, mencarinya dengan cara yang betul dan yang paling penting menjadi pencari jalan yang betul. Kalau sekadar untuk tahu, jalan tersebut kita mungkin ikut dan mungkin tak ikut. Jadi hujung jalan tersebut kita mungkin sampai, mungkin tak sampai.

Bagaimana menjadi Pencari Jalan yang betul? Pada pandangan aku, orang yang betul-betul ingin mencari jalan, dia akan bergerak menelusuri jalan tersebut sedikit demi sedikit.
 
Contohnya, kita nak pergi kenduri kahwin, bila kita ikut peta, kita akan mencari landmark yang pertama, kedua dan seterusnya sehingga kita jumpa destinasi. Kalau keliru, kita akan bertanya orang di sepanjang jalan yang tahu tentang lokasi tersebut. Kalau orang yang ditanya tak tahu, kita akan ucapkan terima kasih dan bertanya kepada orang lain pula. Kalau orang yang ditanya buat-buat tahu, masak la kita, hehehe..

Secara mudahnya, apa sahaja yang kita belajar atau mendapat pengajaran baik secara langsung atau tidak langsung haruslah dijadikan peringatan sekurang-kurangnya, atau amalan, sebaik-baiknya. Itupun jika secara pertimbangannya perkara itu wajar untuk kita ambil dan pegang, kalau tak wajar, buat apa nak pegang.

Harus juga untuk kita ingat, pengajaran tidak semestinya berlaku dalam bentuk kelas/ceramah/kuliah. Ia boleh datang dari perbincangan formal atau tidak formal, boleh datang dari pembacaan, boleh datang dari teguran, boleh datang dari apa yang kita lihat sehari-hari, boleh datang dari apa yang kita dengar dari persekitaran, pendek kata ia boleh datang dari apa-apa bentuk di sekeliling kita. Semuanya dinampakkan kepada kita supaya kita mengambil pengajaran. Jadi sebagai pencari jalan, menetapkan niat hujung jalan yang dia ingin sampai sangatlah penting. Perkara menetapkan niat ini akan memberi kekuatan kepada pencari dalam menyaring apa sahaja petunjuk atau tanda yang diterima sama ada boleh diguna atau tidak.

Apa sahaja jalan yang dicari, Si Pencari Jalan mesti komited dengan cariannya. Komitmen ini akan memberi hasil yang baik jika apa yang dicari itu baik, begitulah sebaliknya. Cara carian tidak akan menentukan keputusan yang baik atau tidak baik, tapi ia akan memberi impak kepada Si Pencari, jika cara cariannya betul, impaknya positif dan begitulah sebaliknya.

Bagaimana kita ingin mencari di tempat yang betul. Sudah pasti ianya bergantung kepada apa yang kita cari, kan? Nak cari kasut, pergilah ke kedai kasut. Nak cari jalan, kena keluar berjalanlah, duduk rumah lepas tu Google Map pun boleh, setakat maklumat sajalah, realitinya tetap bukan semudah yang kita tengok kat situ. Perlaksanaan mencari ini harus berlaku setapak demi setapak, kalau tidak kita hanya mendapat idea yang masih terawang-awang.

Keadaan ini kalau dikaitkan dengan soalan saudara jauh aku di FB seperti di atas, Macam Mana nak ke Syurga, kaedahnya sama. Hujung jalan yang dicari adalah Syurga. Kepada Si Pencari, soalannya, betul ke nak ke Syurga? Kalau betul, di manakah Google Map untuk ke Syurga? Dah jumpa map untuk mencari Syurga, lagu mana nak baca map tersebut? Ada tak orang yang nak ke Syurga? Ada tak orang yang dah sampai ke Syurga? Macam mana depa pi sana? Jalan depa lagu mana? Inilah soalan-soalan yang perlu kita jawab. InsyaAllah Syurga itu, dapat kita bau harumnya, dapat kita bayang indahnya, dapat kita rasa nikmat, walaupun belum sampai di sana.

Rasanya cukup setakat hari ni, aku kena beransur dulu. Nantikan sambungannya. Aku suka sangat tulis pasal ni, sebab aku pun cari jalan jugak.. apa yang aku tulis hanyalah pengalaman cetek semata-mata. Kita kongsilah, mungkin ada kesalahan yang aku tulis, pohon ampun dari Allah, tegurin aku ya..

Alhamdulillah..














1 comment:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...