Assalamualaikum...
Aku suka melihat anak-anak kecil yang bercakap sopan dan merujuk orang yang lebih tua sebagai ‘pakcik’, ‘makcik’ atau ‘abang’ atau ‘kakak’. Comel kan.
Anak-anak yang masih dalam proses menyerap budaya dan peribadi. Anak-anak kecil bukan sahaja anugerah Allah, malah merupakan contoh yang Allah lampirkan kepada kita agar kita mengingatkan diri kita dengan fitrah asal manusia. Tiada bersedih hati, tiada khuatir, yakin dengan orang tuanya dan juga ahli keluarga lain di sekeliling mereka.
Anak meyakini kepimpinan orang tuanya, itu fitrah. Abang dan kakak sentiasa memimpin adik-adiknya, itu fitrah. Anak-anak kecil menyayangi ahli keluarga mereka tanpa alasan, itu fitrah. Allah sentiasa memimpin anak-anak ini dan seterusnya kepimpinan itu bertukar tangan kepada ibu bapa, itu juga fitrah. Sekarang? Adakah kita masih lagi dipimpin? Oleh Allah terutamanya, masihkah?
Aku bukan nak berceramah, hasil bacaan dan pengamatan sahaja. Hubungan dengan Allah sangat berkait rapat dengan Akhlaq. Kepimpinan Allah sangat sebati dengan Akhlaq. Mari kita lihat, siapa yang kena!!!
Perkataan Akhlaq berakar umbi dari perkataan kha-la-qa; daripada bahasa Arab. Perkataan ini banyak kita temui dalam Al-Quran, seperti dalam Surah Al-‘Alaq, surah ke 96. Banyak juga disebut terbitan-terbitan perkataan ini termasuklah “khaa-liq” dan “makh-luq”. Akhlaq/Khaliq/Makhluq adalah kata nama yang memberi makna berbeza tetapi dalam satu hubungan yang jelas.
Dari segi bahasa, Akhlaq secara umum dikalangan penutur bahasa Melayu khususnya merujuk kepada perilaku dan keperibadian. Begitu juga dalam bahasa Arab, seperti yang tercatat dalam AQ.
Perhubungan antara ketiga-tiga kata nama ini memperkukuhkan lagi makna Akhlaq. Daripada perkataan dasar “kha-la-qa” yang bermaksud “cipta”, ‘khaa-liq” bermakna “yang menciptakan”; dari segi tata bahasa Arab (nahu), ia adalah kata pelaku atau (faa-’il). Manakala “makh-luq” pula kata yang diperlakukan yang membawa makna “yang dicipta”.
Hubungan antara “yang mencipta” dan “yang diciptakan” ini disebut “Akh-laq”. Jika kita meletakkan makna Akhlaq sebagai penciptaan, maka penciptaan itu haruslah sesuatu yang kembali/balik kepada penciptanya. Kembali/balik ini boleh dirujuk sebagai tugas, manfaat atau tunduk.
Sebagai contoh, manusia mencipta kereta agar bermanfaat dalam perjalanan kepada manusia, kerana sudah tentu kereta itu tugasnya mengangkut, dan adalah penting kereta itu sentiasa dalam kawalan agar bencana perjalanan dapat dielakkan. Ini hanya contoh.
Berbalik kepada Akhlaq manusia. Allah menciptakan manusia, dan manusia adalah penciptaan, maka harus manusia itu tunduk kepada Penciptanya, memberi manfaat kepada alam seluruhnya (yang juga penciptaan Allah) dan melaksanakan fungsi kemanusiaan agar menepati tugas/sebab ia diciptakan. Perilaku/keperibadian manusia itu tertakluk dalam konteks tunduk / bermanfaat / melaksanakan fungsi seperti dikehendaki Penciptanya.
Dengan kata lain yang lebih mudah, hubungan diantara “makh-luq” dan “Khaa-liq” adalah AKHLAQ yang merangkumi perilaku dan keperibadian yang bersifat tunduk, memahami tujuan ia diciptakan dan melaksanakan tugas tersebut.
Pada pendapat aku, akhlaq terbahagi dua; akhlaq yang baik, akhlaq yang buruk. Sudah pasti kedua-dua ini bertentangan. Jika yang baik tunduk, yang buruk sudah pasti tidak tunduk. Akhlaq yang baik ada lagak dan perjalanannya, begitu juga yang buruk pun, ada lagak dan perjalanannya. Hasilnya pula adalah berkadar langsung dengan lagak dan perjalanan itu, baik balas baik, buruk balas buruk. Alangkah baiknya jika akhlaq anak-anak aku berada di landasan yang baik.
Betapa akhlaq itu sangat mengujakan dan CANTIK sekali.. bukankah begitu???
Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment