Assalamualaikum..
Aku teringin untuk berdiskusi pasal PERSAUDARAAN. Apakah Persaudaraan?
"Saudara" ada banyak tata penggunaan. Sebagai pengganti diri, "saudara" bermaksud awak/kamu untuk lelaki, panggilan yang sopan dan hormat dalam suasana tertentu. Tapi ia jarang sekali digunakan pada masa sekarang.
"Saudara" sebagai kata nama digunakan untuk menerangkan hubungan dalam percakapan harian. Selalunya ia bermaksud mempunyai hubungan kekeluargaan.
PERSAUDARAAN pula adalah terbitan dari "saudara". Ia memberi makna perikatan antara jiwa-jiwa yang menerima antara satu sama lain. Persaudaraan adalah perikatan yang menyatukan corak pemikiran dan pelaksanaan kehidupan seharian, secara langsung atau tidak langsung. Ia juga disebut "Brotherhood" dalam Bahasa Inggeris dan "Ikhwan" dalam bahasa Arab. Dalam pertuturan loghat Melayu Utara dan Timur Semenanjung, disebut "adik-beradik".
Apa yang cantik dan indah tentang Persaudaraan?
Hidup bersaudara adalah fitrah manusia. Ia sebahagian daripada sistem sosial manusia. "Bersaudara" adalah deklarasi antara dua jiwa, seperti contoh, "...kita berdua bersaudara..". Hubungan yang wujud ini tidak semestinya berdasarkan kekeluargaan atau keturunan
kerana kekeluargaan dan keturunan belum tentu menjamin persaudaraan, ia juga boleh wujud atas ideologi yang sama atau asas tujuan yang sama. Ia juga mungkin wujud disebabkan oleh persahabatan yang sangat rapat.
Dalam hidup bersaudara, persaudaraan sentiasa didahulukan. Walaupun ada timbul perselisihan, ia akan cuba ditangani secara diplomasi dan perbincangan sebagai jalan utama. Jika ada kesalahan, hasil perbincangan akan menentukan sama ada dihukum atau dimaafkan.
Hidup bersaudara membebaskan kita daripada hidup paranoid, kata orang putih. Tiada lagi syak wasangka, hasad dengki dan khianat sesama sendiri. Ia juga menjamin kerukunan masyarakat kerana setiap masalah akan mempunyai tempat rujuk dan perbincangan. Persaudaraan akan membentuk masyarakat yang saling melindungi antara satu dengan yang lain.
Hak bersaudara juga akan menjadi lebih jelas; secara otomatis setiap yang bersaudara akan mendahulukan kepentingan bersama berbanding kepentingan diri.
Indahnya jika kita dapat mengakui bahawa kita semua BERSAUDARA. Atas dasar apa? Taqwa? Boleh juga kan. Apa pun dasarnya, semoga ia membawa kita kepada jalan Akhlaq yang baik... amin..
Indah dan Cantik Persaudaraan yang Allah anjurkan. Semoga sampai satu masa kita akan nampak tempat duduk kita bersama dan menerimanya sebagai Persaudaraan yang kukuh dan kuat.
Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment