Assalamualaikum...
Kehidupan sinonim dengan masa.
Tidak pernah terhenti walau pun seketika. Seiring dengan detik yang berlalu,
perubahan demi perubahan kita tempuh sepanjang hayat kita.
Semasa kecil, kita menangani
perubahan dengan bergantung harap kepada ibu dan bapa. Setiap perubahan yang
berlaku dalam hidup kita adalah juga perubahan dalam hidup keluarga kita.
Setiap perubahan tersebut membenihkan harapan baru dan rutin yang baru.
Sejak di bangku sekolah, aku
sering tertanya-tanya, “… apa lagi lepas ni…”. Terasa seolah-olah semuanya
telah diatur sehingga aku tidak punya pilihan. Aku sering membayangkan, tamat
persekolahan, lanjutkan pelajaran, dapatkan kerja yang bagus, kahwin, dapat
anak dan seterusnya pencen dan akhirnya… meninggal.
Aku tak pernah membayangkan
bagaimana untuk menangani perubahan semasa peralihan setiap fasa perjalanan
tersebut. Setelah aku melalui detik-detik itu barulah aku menyedari bahawa pada
setiap simpang (peralihan fasa) akan ada pilihan-pilihan yang boleh aku
pertimbangkan. Malah pada setiap pilihan itu terdapat adjustment yang perlu dilakukan agar pilihan itu mencapai
sasarannya.
Ramai orang yang takut dengan
perubahan, mungkin aku tidak terkecuali. Berubah memberi banyak implikasi atau
kesan kepada kehidupan kita dan orang lain. Kebanyakan perubahan yang berlaku
sering menimbulkan konflik; ada yang besar dan ada yang tidak. Mengapa? Jika
kita pandang ke belakang, dalam hidup kita sendiri… apa yang akan kita lihat
adalah adjustment.
Perubahan boleh jadi secara
terpaksa atau secara sengaja. Teknik menangani mungkin berbeza antara keduanya,
tapi asasnya tetap sama; adjustment.
Perubahan yang terbaik adalah
dengan sengaja. Dengan itu kita akan lebih jelas dengan hala tuju perubahan
tersebut. Hasilnya, perancangan akan lebih teratur dan kita akan lebih bersedia
menerima impaknya.
Keseimbangan merupakan faktor
penting semasa menangani perubahan. Faktor-faktor yang perlu dipertimbangkan
juga bertambah mengikut masa. Perubahan dalam hidup kita pasti akan
mempengaruhi isteri atau suami, anak-anak dan ibu bapa kita secara langsung.
Semua orang juga turut sama akan mengalami perubahan; sama ada terpaksa atau
sengaja. Pada masa inilah akan timbul konflik.
Dalam mencari keseimbangan,
keperluan dan keutamaan (needs and
priority) perlu diperhalusi. Adakalanya keutamaan kita berubah disebabkan
oleh faktor luaran. Contohnya, faktor hutang sehingga terpaksa over time, double job dan sebagainya. Begitu juga dengan keperluan boleh
berubah. Contohnya televisyen atau internet; bukanlah keperluan yang penting
sehingga kita perlu menanggung overhead
bulanan, tapi zaman sekarang sudah dianggap keperluan.
Amat penting untuk kita melalui
perubahan dengan hala tuju yang jelas dan yang paling penting sekali ialah
DENGAN SENGAJA. Maka, adalah amat penting juga untuk kita memastikan KEPERLUAN
dan KEUTAMAAN kita sentiasa berada atas dasar yang kukuh, bukan lagi terawang-awang
disebabkan faktor luaran. Hasilnya, kita akan lebih tenang merencanakan
perubahan hidup kita dengan teratur.
Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment