Assalamualaikum...
Duduk minum teah ais di kedai mamak, sambil melihat gelagat orang pagi-pagi macam ni memang luar kebiasaan aku.
Kedai mamak memang menjadi kegemaran ramai orang, bukan kerana sedap makanannya, tetapi mungkin kerana kemudahan yang mencukupi dan bersih. Pelbagai bangsa kelihatan menjamu selera, daripada warganegara sehinggalah pelajar-pelajar antarabangsa yang banyak menetap di sini.
Aku terlintas tentang BUDAYA. Apa sebenarnya budaya? Kalau menurut Kamus Dewan Online, budaya bermakna:
- tamadun, peradaban
- kemajuan fikiran, akal budi (cara berfikir, berkelakuan, dsb)
Dalam bahasa Inggeris disebut culture:
- the quality in a person or society that arises from a concern for what is regarded as excellent in arts, letters, manners, scholarly pursuits, etc.
- that which is excellent in the arts, manners, etc.
- a particular form or stage of civilization, as that of a certain nation or period: Greek culture.
- development or improvement of the mind by education or training.
- the behaviors and beliefs characteristic of a particular social, ethnic, or age group: the youth culture; the drug culture.
Setiap bangsa di dunia mempunyai budaya masing-masing. Malah, budaya pada masa ini telah melangkaui jangkauan sempadan bangsa yang pada satu masa adalah identiti kaum.
Boleh dikatakan, budaya adalah sesuatu susunan perlaksanaan satu atau lebih ideologi yang mempengaruhi perkembangan pola berfikir dan akal budi sehingga membentuk peradaban atau ketamadunan.
Walau apa pun, apa yang jelas budaya adalah teras komuniti yang tersemat tanpa perlu diucap. Apa kepentingan memahami budaya, terutama budaya diri dan keluarga kita sendiri?
Pada aku, kita perlu melihat kepada diri kita sendiri dan pendekatan yang kita ambil dalam menjalani hidup seharian untuk memahami apa yang dikatakan budaya. Kita perlu jelas, siapa kita dan apa pegangan cara hidup kita. Adakah kita hidup sekadar ikut-ikutan atau berdasarkan prinsip/dasar yang jelas? Adakah kita MEMBUDAYAKAN atau DIBUDAYAKAN atau TERBUDAYA?
MEMBUDAYAKAN - kita jelas siapa kita dan hala tuju kita dan kita tegas dengan pegangan tersebut sehingga nilai-nilai yang timbul berjaya membudayakan hidup kita dan hidup orang di sekeliling kita.
DIBUDAYAKAN - kita tidak jelas siapa kita dan mengikut hala tuju mainstream masyarakat. Apa sahaja nilai yang diserap dianggap tidak ada konflik selagi masyarakat menerima.
TERBUDAYA - kita jelas siapa kita, kita memilih untuk berada dalam komuniti yang tampak pada kita mempunyai kelebihan sehingga nilai-nilai yang wujud dalam komuniti tersebut menyerap dalam perlaksanaan kegiatan seharian kita.
Dalam berbudaya, komuniti memainkan peranan yang sangat besar. Jika kita hidup berasaskan ILMU, pengaruh komuniti akan minima terutama yang melibatkan budaya negatif, tetapi jika sebaliknya,TANPA ILMU, tidak akan ada garis pemisah yang jelas antara hitam dan putih.
Aku berpendapat, apa sahaja yang kita usahakan hari ini akan berbekas dalam jiwa anak-anak kita di kemudian hari. Jika perkara yang baik menjadi bekas, semoga ia menjadi budaya generasi mendatang. Tetapi, jika perkara yang buruk menjadi bekas, kasihanilah generasi kita yang ke depan. Kita takut, budaya akan datang menjadi seperti apa yang sering diucap oleh kaum-kaum yang pernah menentang Nabi-nabi dan Rasul-rasul yang telah Allah utus ke muka bumi,
"... kami hanya mengikut apa yang orang tua kami lakukan."
Jadi, dalam menjalani hidup sehari-hari cuba perhatikan, adakah hidup kita TERBUDAYA atau DIBUDAYAKAN? Berhati-hatilah dalam mengambil sebarang keputusan atau langkah. Jangan sampai generasi kita yang terkedepan terlupa, siapa kita dan apa pegangan kita akibat perbuatan kita sekarang.
Adakah lebih baik, tindakan kita didasari ILMU daripada sekadar mengikut.
Sekadar pandangan...
Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment