Semalam, anak aku mengamuk sebab aku tak nak tutup pintu. Pelik jugak, pasal apa mengamuk. Aku pun tanya punya tanya, rupa-rupanya, dia takut tengok pokok belimbing buluh depan rumah (agak rimbun) ditiup angin. Aku pun janji dengan anak aku untuk potong sikit dahan-dahan pokok tu, tak biar rimbun sangat. Kesian tengok dia, takut tak pasal-pasal.
Hiasan |
Budak sifatnya suci. Pemahamannya, pemikirannya dan juga pengamatannya hanya berdasarkan keperluan semasa. Kalau dia nak sesuatu, time tu juga dia nak. Bila kita offer masa lain, belum tentu dia akan berminat. Selepas sekian masa, pemahaman dan pemikirannya akan berubah mengikut pengamatannya atau pengalaman dari hari ke hari. Jika kita mendedahkan pengalaman yang negatif, perasaan dan pengalaman itu akan kekal lama dalam kepalanya.
Berbalik kepada diri kita sendiri, pernah tak kita renung, apa yang membentuk kita pada hari ni? Pengalaman apa yang membentuk diri kita pada hari ni? Cuba renungkan, sepanjang yang kita ingat tentang diri kita, apakah nilai kebaikan yang paling kuat dalam diri kita? Adakah nilai tersebut masih melekat kuat dalam tabiat kita?
Kita ni manusia biasa yang penuh dengan potensi, tetapi banyak pengalaman yang menyekat potensi diri kita, mewujudkan persepsi yang negatif tentang diri kita sendiri. Akhirnya, semua persepsi itu menjadi satu kebenaran, sekurang-kurangnya kepada diri kita sendiri. Ia menjadi penghalang, yang hanya berlegar dalam sangkaan kita sahaja, dalam kepala kita sahaja.
Contoh paling mudah, berniaga. Orang Melayu dikatakan tidak pandai berniaga, siapa cakap? Orang Melayu pandai bertani sahaja. Siapa cakap? Orang India menoreh getah sahaja, siapa cakap? Orang Cina bangsa berniaga, siapa cakap. Apa sahaja aktiviti kita, tak kira bangsa atau keturunan, jika dilaksanakan mengikut cara yang sepatutnya ia dilaksanakan, pasti ia akan memberi hasil yang sepatutnya. Jika semua faktor dipatuhi selayaknya, hasil yang selayaknya juga akan diperolehi, tak kira siapa.
Budaya kita mungkin berbeza, tetapi ia bukan satu kesimpulan mudah untuk mengiya atau menidakkan potensi individu. Banyak lagi contoh-contoh lain. Kemahiran, kepandaian hanyalah manifestasi atau projection minat seseorang. Tinggi kemahirannya jika ia bersemangat untuk mendalaminya, begitu juga kepandaian.
Masyarakat yang positif akan membentuk jati diri yang kuat dalam ahli komuniti. Jika negatif, pasti impaknya bukanlah impak yang kita boleh banggakan. Positivity adalah sesuatu yang perlu diusahakan bersama-sama (dalam masyarakat). Kalau dalam bahasa Inggeris disebut community, dalam bahasa Arab pula disebut jama'ah, ia merujuk kepada perkara yang sama iaitu beramai-ramai (masyarakat).
Pada hari ini, kita terdedah kepada pelbagai jenis konflik yang mencegah kita dari bersangka baik. Sampai bila kita nak melihat orang lain sambil menggambarkan sangkaan yang buruk saja?
Perkara negatif akan mewujudkan rasa kurang senang dalam apa jenis masyarakat pun. Rasa kurang senang ini biasanya dirasionalkan dengan pelbagai alasan untuk mengelakkan rasa bersalah dalam diri. Akhirnya, segala sangkaan kita menjadi kebenaran walau pun sepatutnya ia bukan satu kebenaran.
Contoh, anak orang kaya; ada orang beranggapan mereka ini sangat biadap dan berlagak, tidak pandai hukum agama, hidup macam orang putih. Untuk merasionalkan pandangan tersebut, alasan yang digunakan termasuklah; kerana telah diasuh begitu, kerana ibu-bapa sangat sibuk, kerana terlalu dimanjakan. Persoalannya, anak orang kaya yang mana? Anak orang yang tak berapa kaya, tidak biadap ka, pandai hukum agama ka, atau hidup macam orang Timur ka? Itu contoh yang berlaku zaman 70-an hingga 90-an, sekarang aku tak tahu jika persepsi itu masih wujud.
Kebenarannya, tidak kira siapa, sikap dan tingkah laku masing-masing adalah tanggungjawab masing-masing. Baik buruk sikap kita adalah bergantung kepada kita sendiri, bukannya kerana kaya miskin, mulia hina dan sebagainya. Kebenaran ini ditutup agar menjadi alasan untuk menidakkan atau mengiyakan potensi orang lain.
Jika kita melihat balik bagaimana kita semasa kecil, kadang-kadang kita sendiri boleh rasa bahawa ada nilai-nilai yang baik dalam diri kita semakin hilang. Kesucian pemikiran dan pemahaman kita tercemar. Kita menjadi seseorang yang bukan kita suka atau mahu. Kita telah mengikut apa yang masyarakat mahu. Kita telah mengikut haluan arus perdana. Jika belajar kedoktoran, harus menjadi doktor, contoh la kan. Siapa kata? Jika belajar kejuruteraan, harus menjadi jurutera, siapa kata? Harus saja, bukan wajib. Kita nak jadi siapa, salah tak kalau bergantung kepada diri kita sendiri?
Walaupun ceritanya pasal anak aku mengamuk, ia banyak mengajar aku pasal budak. Anak aku adalah aku suatu ketika dulu. Tengok dia dengan perangainya, rupa-rupanya aku dulu juga seorang yang sangat suci pemikiran dan pemahaman. Sekarang, siapa aku? Kalau impian aku, anak aku akan membesar sebagai anak yang soleh, aku kena jadi soleh. Kerana anak aku semasa umurnya 20-30 tahun, adalah aku sekarang.
Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment