Salam Ramadhan 1434H.
Selamat Berpuasa |
Setiap tahun, aku sering mendengar pelbagai tazkirah (Bahasa Melayu: peringatan) berkenaan Ramadhan dan kelebihan-kelebihan bulan mulia ini sering disiarkan dalam media-media utama. Semuanya bagus dan memberi input yang bermanfaat.
Sekarang sudah hampir 25 tahun aku mengharungi Ramadhan dan berpuasa, ada yang cukup, ada yang tak cukup. Sehingga sekarang, kebanyakan tazkirah yang aku dengar hanya tinggal tazkirah. Mula saja Aidilfitri, tazkirah tinggal sejarah. Bila difikirkan balik, malu pun ada. Aku seorang Islam, hanya mempraktiskan apa yang dikatakan Mengawal Nafsu / Memperbanyak ibadat / banyak baca Al-Quran hanya sebulan dalam setahun. Lagi 11 bulan, apa dah jadi?
Aku cuba juga cari puncanya. Bila diselidik balik, tanya mereka yang pandai (kiyai, ustaz), rupa-rupanya ada perkara penting yang aku tak buat; buat apa yang Allah suruh, seluruhnya!!
Seluruhnya bermakna semuanyalah. Aku diberi satu contoh; puasa iaitu menahan lapar dan dahaga adalah salah satu dari praktis puasa. Apa yang lebih besar tentang puasa? PENGHAYATAN. Apa yang dikatakan penghayatan puasa?
Terdapat 2 peristiwa besar yang menjadi titik tanda perkembangan Islam di seluruh dunia pada hari ini. Pertama, turunnya Al-Quran Al-Karim seperti yang Allah sebut dalam Al-Baqarah, ayat 185. Kedua, peristiwa Perang Badar, perang pertama dalam sirah Nabawiyah, Muhammad S.A.W. yang mempertahankan wilayah Islam dan pegangan Tauhid yang pertama di bawah baginda Rasulullah S.A.W.
Aku diberikan dua peristiwa tersebut agar menjadi renungan. Aku bertanya juga, dari perspektif mana aku nak renung dua peristiwa ni? Apa yang aku faham, kita patut bersyukur kerana turunnya Al-Quran yang menjadi pegangan kita sekarang. Peristiwa Badar pula melambangkan kekuatan rohani pejuang Islam yang menjadi contoh dan idola kepada kita.
Jawapannya:
Benar kita patut bersyukur kerana Al-Quran diturunkan. Dalam kehidupan kita adakah AQ itu kita praktiskan? Adakah praktis AQ itu hanya sekadar 5 Rukun Islam sahaja? 6000 lebih ayat, takkan hanya bercerita pasal solat, puasa, zakat, haji? Bukankah AQ itu harus dipraktis dalam segenap kehidupan, dan ianya sesuai di setiap zaman? Bukankah AQ itu harus ditegakkan dalam kehidupan kita? Setiap kali Ramadhan tiba, bukankah sewajarnya kita mempertimbangkan, merenung kembali setahun kehidupan kita, adakah kita menjadikan AQ itu sebagai landas kehidupan?
Aku terpaku sekejap. Tak pernah pula aku terfikir ke situ!!!!
Perang Badar - perang pertama dibawah panji Islam yang diperjuangkan oleh Rasulullah dan umat Islam Madinah. Bawah panas terik mentari dan bahang padang pasir, tentera Islam tanpa gentar berdepan dengan tentera Musyrikin yang jumlahnya 3 kali ganda. Bagaimana ketahanan rohani tentera Islam dengan kefahaman tauhid yang tinggi, mempertahankan yang Hak dan menentang Yang Bathil tanpa banyak soal. Bagaimana Allah memberi contoh kepada kita bahawa yang Hak pasti akan menang walau apa pun keadaannya. Tugas kita hanya mempersiapkan diri dalam menegakkan yang Hak tanpa perlu merungut. Persoalannya, jika kita mahu Islam itu tegak, sudahkah kita mempersiapkan diri kita?
Sekali lagi aku terpaku.....Sama jugak, aku tak pernah terfikir ke situ!!!!
Aku bukan nak menulis tazkirah, hanya berkongsi apa yang aku dapat dalam perjalanan Ramadhan kali ini. Perjalanan kehidupan kita hanya satu tujuan, MATI. Arah mana yang kita pilih, mati mana yang kita minta? Semuanya pilihan kita.
Semoga tulisan aku kali ni bermakna untuk para sahabat dan rakan-rakan sekalian. Sekadar berkongsi. :D
Alhamdulillah.
No comments:
Post a Comment