POST

Monday, March 31, 2014

SERIBU KALI LEBIH BAIK

Assalamualaikum...

Malaysia telah melalui detik-detik sukar dalam sebulan dua ni. Bermula dengan cuaca panas melampau, masalah jerebu sehingga tahap bahaya, krisis air yang meruncing sehinggalah misteri kehilangan pesawat MAS. Apa yang dapat aku katakan, ia banyak mengubah landskap pemikiran orang Malaysia serta membuka seluas-luas ruang perubahan sikap dan persepsi dalam menghadapi krisis yang lebih bersifat umum dan menyeluruh. Semua krisis yang kita hadapi ini telah melenyapkan (mungkin bersifat sementara) jurang antara agama, antara kaum malah antara kelas (kaya dan miskin sebagai contoh). Walaupun kita tidak kelihatan bersatu menghadapi semua krisis ini, tetapi jauh di dalam hati masing-masing, kita tetap mengharapkan krisis ini berakhir dan keadaan akan jadi lebih baik.

Aku bukanlah orang yang layak untuk menilai perubahan landskap pemikiran orang kita. Aku hanya mampu memberi pandangan berdasarkan observasi (pemerhatian), mungkin salah, mungkin betul. 'Perubahan' sentiasa bersifat umum, boleh menjurus kepada negatif mahupun positif. Tapi aku mengambil sikap, setiap perubahan itu adalah 'bagus'.

Pertama

Bercakap memang mudah, bukan kena bayar pun. Mengambil tanggungjawab atas apa yang kita cakap itu yang susah. Sebab itu orang tua-tua pesan, 'fikir dulu sebelum bercakap', 'terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata...', 'kerana mulut badan...'. Kita sendiri telah menyaksikannya selama bertahun-tahun bagaimana 'sedapnya' orang bercakap, mungkin aku tak terkecuali. Malah dalam sebulan dua ni, apa yang kita saksikan bertahun-tahun, menjadi seterang-terangnya dan sejelas-jelasnya, pertama - bagaimana cara kita berfikir, kedua - 'cakap ikut sedap mulut', ketiga - 'self interest is bigger than community interest' dan yang keempat - memalukan.

Perkataan yang keluar dari mulut kita adalah tanggungjawab kita. Pandangan kita akan sentiasa kekal sebagai pandangan, jika kita bukan orang yang bertanggungjawab dalam perlaksanaan, 'berat telinga mendengar, berat mata melihat, berat perasaan hati, tetaplah lebih, lebih, lebih berat bahu yang memikul'.

A picture speaks a thousand words, stop talking and draw the lines between good and better.

Even better, action speaks thousands of pictures. Silence is also an action, pray silently, hope for the best (silently) is better right? Asking question is not wrong, but asking the wrong question at the wrong time is stupid, silence is better, right?

Kedua

Secara global kita juga telah menyaksikan bagaimana krisis kehilangan pesawat misteri MAS telah mendapat perhatian kuasa-kuasa teknologi dunia. Aku tak berminat untuk meneliti teori konspirasi, terlalu banyak 'if ', terlalu kurang maklumat dan pengesahan yang valid untuk kita tengok lebih dalam.

Apa yang pasti, walaupun peristiwa ini melibatkan nyawa manusia, setiap negara yang memberi sokongan sama ada moral mahupun material sentiasa berhati-hati dalam membuat kenyataan demi menjaga kepentingan masing-masing. Ia bukanlah perkara yang negatif cuma ia memperlihatkan betapa dunia hari ini berada dalam keadaan yang messy, sentiasa curiga antara satu sama lain, sentiasa berlumba-lumba mengatasi sesama sendiri....  sounds familiar? Apa yang kita perlu faham, bukan hanya antara kaum atau agama, malah antara negara pun hal tersebut berlaku. Mengapa? Akhirnya yang menjadi mangsa, keluarga kepada mereka yang terkorban dan negara kita juga.

Menyedari hal ini, apa yang kita boleh buat? Kalau tanya aku, kuatkan pegangan kita, kembali kepada kebenaran (so cliche... apa nak buat). Kebenaran akan menguatkan daulat diri sendiri. Jika kita dapat merasai daulat diri kita terhadap diri kita sendiri, kita akan dapat merasai daulat negara kita. Perkataan mudah yang orang pakai - jati diri. Daulat lawannya hamba (pandangan aku dalam konteks ini).

Ketiga

Sedar atau tidak, Tuhan telah menjadi harapan terakhir kita. Mengapa Dia tidak menjadi harapan pertama kita? Siapa kita di mata kita? Hamba Tuhan? Mengapa perlu datangnya krisis untuk kita sedar bahawa Tuhan sentiasa menjadi harapan kita? Adakah sebelum ini kita mendustakan nikmat keamanan, ketenangan dan kecukupan?

Kesimpulan aku, apa yang terjadi telah terjadi. Kita tiada kekuatan pun untuk menjangkanya apatah lagi menghalangnya. Pada saat ini, 'kalau' tidak akan mengubah apa-apa. Seperti yang aku cakap awal tadi, peristiwa yang kita lalui ini telah membuka seluas-luas ruang perubahan sikap dan persepsi kita, take it.

Memperbaiki diri adalah SERIBU KALI LEBIH BAIK daripada menuding jari. Sekadar pandangan.

Alhamdulillah.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...